Info Sekolah

Jerantut, Pahang, Malaysia
Mula beroperasi pada tahun 1964. SK(F)SG.Tekam akan menyambut Jubli Emas pada tahun 2014.Kepada semua bekas pelajar sekolah ini, bolehlah mendaftarkan diri sebagai ahli alumni sekolah di laman web sekolah iaitu http://www.skstekam.webs.com atau di Facebook (SK Sungai Tekam)

Friday, May 21, 2010

Pusat akses Wifi di desa, Utusan 21 Mei 2010

Pusat akses Wifi di desa
Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

BALING 20 Mei - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan mewujudkan pusat akses Wifi di setiap kampung di seluruh negara bagi membolehkan rakyat menikmati kemudahan Internet percuma dalam tempoh terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) berkata, pusat akses yang melibatkan kos kira-kira RM11,000 setiap satu itu akan dipasang di dewan atau balai raya serta premis kerajaan yang mempunyai talian telefon dan sambungan jalur lebar.
Katanya, langkah yang diambil berkenaan bertujuan meningkatkan kadar penembusan jalur lebar kepada 50 peratus pada penghujung tahun ini berbanding 35 peratus kini.
"Pusat akses ini diwujudkan di setiap kampung. Kita sedang kaji kesesuaian untuk memasangnya di premis kerajaan sedia ada dan tidak melibatkan pembinaan bangunan baru.
"Melalui pendekatan ini, penduduk yang berada sekitar satu hingga dua kilometer dari pusat akses di kampung masing-masing boleh mendapatkan sambungan percuma kepada komputer mereka," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Pewaris Muda Anak Angkat di Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil, dekat sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Abdullah Morad dan Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Menurut Rais, pemasangan pusat akses Wifi terbabit juga sebahagian daripada Sistem Galakan Komunikasi yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Katanya, buat masa ini, beberapa kampung di Melaka dan Negeri Sembilan dipilih untuk dipasang pusat akses Wifi sebagai perintis projek.
"Selepas ini, SKMM akan menjalankan kajian dan mendapatkan maklum balas daripada pemimpin setempat mengenai kesesuaian memasang pusat akses Wifi di kawasan masing-masing," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, projek pengagihan sejuta komputer peribadi dan komputer riba di seluruh negara sudah dimulakan sejak bulan lalu.
Katanya, pengagihan komputer tersebut khususnya kepada pelajar yang kurang berkemampuan dan pemimpin tempatan akan meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
"Untuk meningkatkan lagi keberkesanan pengagihan komputer, kita akan mengedarkan borang tinjauan kepada pemimpin peringkat bahagian dan cawangan untuk menentukan mereka yang layak diberi komputer," katanya.
"Beberapa kriteria ditetapkan antaranya pelajar terbabit mestilah menunjukkan prestasi akademik yang baik sebelum diberikan bantuan komputer percuma," ujarnya.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk mengagihkan komputer dan komputer riba kepada pelajar yang kurang mampu di negara ini.
Pendapat FS: Sangat Setuju.. Negara Maju Bersama ICT .. :-)